Tuesday, 31 January 2017

PENGENALAN



NAMA AHLI KUMPULAN:

  1) ROSINI SAI A/P MOHANA RAO - 16DAT16F1042
  2) MONEETHA A/P MUNIANDY  -  16DAT16F1030
  3) HEMAMALINI A/P PARTHEAPAN  -  16DAT16F1001
  4) PREMA A/P MANICKRAJA  -  16DKA16F1004


NAMA KELAS : DAT 2A & DKA2D

NAMA PENSYARAH : PUAN FADZILAH BINTI ABDUL RAHMAN













                                         




Monday, 30 January 2017

TANGGUNGJAWAB TERHADAP NEGARA


PENGENALAN
  • Sebagai warganegara Malaysia, tentunya kita mempunyai tanggungjawab terhadap negara.
  • Kepentingan melaksanakan dan mematuhi tanggungjawab ini adalah penting bagi menjamin kemajuan dan keamanan negara.
  • Mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad pernah berkata, " Sesungguhnya bangsa yang berjaya ialah bangsa yang rajin dan sanggup menghadapi cabaran hidup". 
  • Hal ini menunjukkan bahawa setiap rakyat perlu menanam jati diri dan berperanan terhadap negara supaya tidak mudah ditangkas oleh kuasa Barat yang rakus.
  • Oleh itu, kita hendaklah memahami dan menjalankan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia dengan penuh komitmen untuk memacu pembangunan negara.
  • Antara tanggungjawab individu terhadap negara seperti yang berikut:
          a) Mempertahankan negara.
          b) Amalan prinsip Rukun Negara.
          c) Semangat kekitaan untuk mengekalkan perpaduan
          d) Patuh kepada undang- undang.



Friday, 27 January 2017

ISI 1 ( NEGARA KITA TANGGUNGJAWAB KITA)


Sewaktu kita menongkah arus siber, tanggungjawab yang dipikul oleh setiap
lapisan masyarakat adalah amat besar. Sebagai rakyat Malaysia, kita seharusnya
prihatin dan bertanggungjawab terhadap negara kita dan tidak menjadi pembelot
kepada negara.



        Memang tidak dinafikan bahawa hampir 99% rakyat Malaysia dilahirkan di
Malaysia. Malaysia merupakan ibu pertiwi kita. Siapakah yang akan menjalankan
aktiviti seharian di tanah tercinta ini? Jawapannya sudah pasti ialah kita yang menjadi
anak jati Malaysia. Jikalau kita berupaya untuk melaksanakan tanggungjawab kita
sebagai warganegara Malaysia, siapakah yang lebih layak untuk menyandang
jawatan ini? Pendatang asing? Orang luar? Ataupun Pertubuhan Bangsa-bangsa
Bersatu? Oleh itu kita hendaklah menjadi rakyat yang sentiasa berpegang kepada
"Di mana bumi berpijak, disitulah langit dijunjung" dan "Hujan emas di negara orang,
hujan batu di negara sendiri, lebih baik di negara sendiri".



        Kita tidak sewajarnya mempratikkan prinsip hidup ibarat kacang lupakan kulit.
Kita seyogia berterima kasih kepada negara kita yang telah memberi kita kesenangan
dari segi material ataupun kesejahteraan. Kita seharusnya bersyukur atas apa yang
kita ada sekarang. Cuba kita tinjau negara Afghanistan atau negara China, negara-
negara tersebut sering dilanda dengan tindakan "keparat" komplot berhaluan kiri
seperti peperangan dan pemberontakan ataupun yang lebih parah iaitu bencana
alam seperti banjir dan wabak penyakit. Lantaran itu, satu kaedah yang paling mudah
dan berkesan untuk membalas jasa negara kita ialah menunaikan kewajipan kita
dengan sempurna dan bertanggungjawab.



        Kemajuan dan wawasan 2020 hanya akan menjadi kenyataan jikalau setiap
rakyat berhasrat dan berkomitmen tinggi untuk menjayakannya. Kejayaan di depan
mata bukan diperoleh dengan mudah sahaja, tetapi dengan usaha dan ketabahan hati
semua rakyat. Justeru itu, untuk membolehkan negara kita mara ke depan dan
mengecapi kejayaan, kesanggupan seluruh rakyat Malaysia untuk melaksanakan
tugas masing-masing amat diperlukan. Sedikit-sedikit lama-lama menjadi bukit,
impian negara tentu akan tercapai jikalau kita bekerja keras dalam memainkan
peranan kita sebagai rakyat Malaysia. Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih,
mustahil kita akan berjaya jikalau negara kita tidak mendapat sokongan sepenuh hati
daripada rakyat. Mustahil juga kita dapat duduk sama rendah, berdiri sama tinggi
dengan negara-negara maju di dunia jikalau kita tidak berusaha.



        Malang itu selalunya tidak berbau, negara kita sekarang ibarat sudah jatuh
ditimpa tangga. Masalah-masalah umpama jerebu, kegawatan ekonomi dan krisis
air di Lembah Kelang tidak pernah berhenti. Masalah ini bukan sahaja tidak dapat
diselesaikan, malahan lebih buruk jikalau rakyat kita tidak bersikap optimis. Janganlah
menjadi penderhaka kepada negara dalam saat-saat genting ini. Jangan hanya prihatin
terhadap masalah negara lain, tetapi mengabaikan negara sendiri. Sikap kera di hutan
disusukan, anak di pangkuan mati kelaparan patut dikikis supaya barah yang tumbuh
di negara kita dapat diubati. Hanya semangat tanggungjawab yang ada pada jiwa
setiap rakyat dapat meleraikan kemelut yang kita hadapi.



        Apakah peranan dan tanggungjawab yang harus ditanggung oleh setiap rakyat
Malaysia? Sebagai kerajaan, mereka harus memeras otak berikhtiar untuk mencari
jalan penyelesaian bagi sesuatu krisis. Bagi ahli korporat pula, mereka tidak patut
menghilangkan diri kerana berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Dari sudut rakyat
jelata pula, mereka harus berusaha bersungguh-sungguh kerana mereka merupakan
bakal pemimpin pada masa akan datang.



        Saya percaya hanya azam yang kuat dan semangat bertanggungjawab dapat
memimpin negara kita melangkah ke alaf baru. Jangan membiarkan negara kita terus
jatuh ke lembah kehinaan. Semangat seperti enau melepaskan pucuk masing-masing
patut ditinggalkan demi kesejahteraan hidup dan yang lebih penting keharmonian
negara.


Thursday, 26 January 2017

ISI 2 ( PATUH KEPADA UNDANG-UNDANG)

            Setiap rakyat mesti mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan oleh negara. Undang-undang bermaksud satu sistem peraturan atau norma yang perlu diikuti oleh seluruh ahli masyarakatnya. Hukuman atau denda (berupa wang) akan dikenakan kepada individu yang melanggar peraturan negara.

             Patuh kepada undang-undang terdapat dalam prinsip Rukun Negara, iaitu kedaulatan undang-undang. Undang-undang sebenarnya memberikan faedah kepada masyarakat kerana undang-undang dapat menjamin ketertiban masyarakat supaya wujud kebahagiaan dan keamanan dalam kehidupan. Undang-undang bukanlah suatu medium untuk menghukum, tetapi sebagai cara untuk menegakkan keadilan.

             Sebagai rakyat Malaysia, kita bertanggungjawab mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan supaya negara sentiasa dalam keadaan aman. Selain itu, kita juga perlu memastikan bahawa undang-undang sentiasa didaulatkan dan tidak dicabar oleh mana-mana pihak. Kesedaran ini perlu diwujudkan dan dikekalkan dalam pemikiran seluruh rakyat Malaysia.


Tuesday, 24 January 2017

ISI 3 ( AMALKAN PRINSIP RUKUN NEGARA)


Rukun Negara merupakan sebuah ideologi kebangsaan Malaysia yang telah dibentuk pada 31 ogos 1970 oleh Majlis Gerakan Negara.Rukun Negara menggariskan lima prinsip utama yang perlu dipegang oleh seluruh masyarakat Malaysia,iaitu:


  • Kepercayaan kepada Tuhan 
  • Kesetiaan kepada Raja dan Negara
  • Keluhuran Perlembagaan 
  • Kedaulatan Undang-undang
  • Kesopanan dan Kesusilaan
Setiap prinsip Rukun Negara tersebut mempunyai tanggungjawab dan peranan rakyat bagi membentuk kesepaduan bangsa Malaysia dalam kepelbagaian kaum dan agama.Sebagai warganegara Malaysia,kita wajib mengetahui dan mengamalkan setiap prinsip Rukun Negara.Selain itu,rakyat bertanggugjawab menjayakan dasar-dasar dan gagasan yang disarankan oleh pemerintah bagi mendukung segala hasrat murni demi kejayaan rakyat dan kemajuan negara.Antara tujuan penggubalan dasar-dasar adalah untuk memelihara cara hidup demokratik,melahirkan masyarakat yang bersatu padu dan adil serta menjamin keamanan,kemajuan dan kemakmuran negara.Justeru itu,tanggugjawab rakyat adalah memahami,mendukung,melaksana,dan menjayakan dasar-dasar tersebut.Contoh dasar-dasar adalah seperti wawasan 2020.Gagasan 1Malaysia,Dasar Sosial Negara dan sebagainya.














Sunday, 8 January 2017

ISI 4 (LANGKAH-LANGKAH UNTUK MENGEKALKAN PERPADUAN)

        Perpaduan merujuk kepada suasana dan ikatan mesra antara rakyat dalam sesebuah negara. Sudah terang lagi bersuluh, semakin hari kita semakin menghampiri ambang 2020. Keadaan ini menandakan titik permulaan pelbagai cabaran dan rintangan yang bakal menghambat. Isu perpaduan kaum bukanlah sesuatu isu yang baharu di negara kita bahkan telah menjadi fokus perbincangan dalam media massa dan buah mulut dalam kalangan rakyat. Senario ini amat mengecewakan kerana pembangunan negara kita yang pesat sejak merdeka akan terjejas disebabkan pergaduhan dan pergolakan politik dalaman.  Tiada penyakit yang tiada penawarnya, maka langkah-langkah yang konkrit, sistematik dan pragmatik haruslah dijalankan secara berterusan agar masalah ini boleh dibasmi hingga akar umbi. 

         Peranan ibu bapa dan barisan pendidik merupakan wahana dalam membina generasi masa hadapan yang mementingkan keharmonian antara kaum. Dalam institusi keluarga, ibu bapa merupakan entiti mithali kepada anak dan perlu menunjukkan teladan baik. Contohnya, ibu bapa haruslah bertegur sapa dan melayani jiran setangga dengan mesra tanpa mengira bangsa, kaum dan anutan agama. Maka, sejak usia muda anak akan terpengaruh untuk meneladani sikap ibu bapa yang menghormati kaum lain, bak kata pepatah, melentur buluh biarlah daripada rebungnya. Barisan pendidik di sekolah juga memainkan peranan signifikan dalam menerapkan nilai murni ke dalam sanubari anak murid. Melalui pengajaran subjek pendidikan moral dan sivik kewarganegaraan, barisan pendidik dapat memberikan bimbingan dan nasihat yang berterusan untuk membentuk sahsiah positif dalam para murid. Yang kita pastikan ialah gabungan usaha antara ibu bapa dengan barisan pendidik dapat memupuk nilai perpaduan dalam generasi muda. 




             Selain itu, pada masa ini juga aktiviti kemasyarakatan dapat mengukuhkan perpaduan kaum di negara kita. Melalui penganjuran aktiviti gotong-royong, masyarakat dapat memupuk semangat bekerjasama bak aur dengan tebing untuk membersihkan dan mengindahkan kawasan persekitaran tempat kediaman. Aktiviti sebegini mampu menjamin keceriaan kawasan kediaman masyarakat dan juga membuka ruang serta peluang komunikasi antara jiran tetangga. Pada masa yang sama, konsep rumah terbuka haruslah diperkukuh di negara kita. Rumah terbuka merupakan kaedah pemupukan perpaduan yang efektif kerana dapat mendedahkan masyarakat kepada keunikan adat resam kaum lain. Secara tidak langsung, persefahaman antara kaum dapat diwujudkan dan hubungan erat bak isi dengan kuku dapat dijalin. Dengan perkataan lain, aktiviti kemasyarakatan merupakan saluran yang paling berkesan untuk memupuk perpaduan kaum. 

             Pada realitinya, memang tidak dapat dinafikan bahawa media massa merupakan rangkaian perhubungan yang banyak digunakan dalam era globalisasi ini. Dalam konteks mengukuhkan perpaduan kaum, media massa seharusnya digunakan dengan sebaik-baiknya untuk menyebarkan mesej dan informasi positif tentang kepentingan bersatu padu. Sebagai analoginya, stesen penyiaran tempatan boleh menyiarkan program yang berunsur perpaduan dan mempunyai pelakon yang berbilang pelbagai bangsa. Siaran program sudah pasti dapat menerapkan nilai perpaduan dalam jiwa masyarakat secara berunsur-unsur terutamanya jika unsur hiburan turut diselitkan dalam program tersebut. Sesungguhnya, perpaduan kaum akan tercapai dengan lebih mudah melalui peranan media massa. 


               Dalam sistem perundangan negara kita, rakyat diberikan hak kebebasan bersuara. Namun demikian, rakyat Malaysia seharusnya menghindari sebarang tindakan yang boleh mencetuskan provokasi kaum. Rakyat negara kita haruslah mengawal nafsu diri dan tidak mengambil kesempatan dengan mencetuskan isu sensitif dan kontroversi. Hal ini dapat mengelakkan muhibah dan perpaduan kaum daripada terjejas kerana bak kata pepatah, mencegah lebih baik daripada mengubati. Justeru, peranan rakyat sendiri tidak boleh dinafikan kepentingannya dalam usaha memupuk perpaduan kaum di negara kita.


                 Konklusinya, perpaduan merupakan tunjang dan asas negara Malaysia. Semua pihak haruslah menggembleng tenaga dan berganding usaha untuk memainkan peranan masing-masing dalam menerbitkan semangat perpaduan dalam sanubari sendiri dan orang lain. Jika semua masyarakat berganding bahu, ibarat ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni, insyallah perpaduan rakyat dapat dicapai dan diggenggam erat. Dengan ini diharapkan peristiwa hitam seperti 13 Mei 1969 dapat dielakkan daripada berulang kembali. Demi merealisasikan visi kudsi Wawasan 2020, marilah kita bersama-sama menyeru sahutan kerajaan dan berusaha untuk mewujudkan masyarakat yang harmoni dan bersatu.